GADONG, Khamis 18 April 2019 – Al-Quran merupakan hidayah serta petunjuk jalan yang diredhai oleh Allah di mana ianya juga mukjizat terbesar yang dianugerahkan Allah kepada Nabi Muhammad S.A.W.  

Budaya membaca Al-Quran yang telah sekian lama diterapkan di kalangan penduduk islam di negara ini telah menjadi pendidikan utama yang sewajibnya ditanai bagi melahirkan nilai akhlak yang mulia dalam menjana insan-insan islam yang tulen.  

Bagi menyahut hasrat tersebut, satu majlis pertandingan Tilawah Al-Quran antara cawangan-cawangan di dalam Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah berlangsung di Dewan Serbaguna, Pusat Latihan Polis, PPDB Gadong. 

Majlis anjuran Badan Ugama Islam, PPDB turut diserikan dengan kehadiran tetamu kehormat majlis Yang Mulia Dato Paduka Seri Haji Mohd Jammy bin Haji Muhd Shah Al Islam bersama Datin. Turut hadir pada majlis tersebut ialah para Pengarah, Timbalan Pengarah, Pegawai-Pegawai Pemerintah Daerah Polis, Ketua-Ketua Formasi serta Pegawai dan anggota PPDB. 

Seramai 10 orang peserta Qari dan Qariah yang terdiri dari anggota Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah ikut serta dalam pertandingan berkenaan di mana majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Imam Surau Ibu Pejabat Polis Gadong, APO Sarjan Mejar 6924 Pengiran Haji Ludin bin Pengiran Haji Metahir dan diteruskan dengan kata-kata ucapan Pengerusi Majlis Penolong Penguasa Polis (ASP) Shamsularifin bin Haji Abdul Wahab. 

Majlis diikuti dengan pertandingan bacaan tilawah serta persembahan khas nasyid daripada pelajar-pelajar Sekolah Ugama Polis Gadong. 

Majlis kemudian diteruskan dengan permakluman keputusan tilawah;  

Johan Qari Lelaki dimenangi oleh PC 6212 Dhabith Al Mubarak bin Haji Mohd Juanda dari Cawangan D 

Naib Johan Qari Lelaki dimenangi oleh APO SJN 6472 Mohamad Yusri bin Haji Abu Bakar dari Cawangan A 

Tempat ketiga Qari Lelaki dimenangi oleh L/KPL 5962 Mohamad Helmi Faisal bin Hoseni dari Cawangan C 

Johan Qari Perempuan dimenangi oleh DSP Hajah Norputemah binti Haji Puteh dari Cawangan A 

Naib Johan Qari Perempuan dimenangi oleh WPC 5842 Hajah Nurhasnaa binti Haji Suhaile dari Cawangan B 

Tempat ketiga Qari Perempuan dimenangi oleh W/L/KPL 5153 Rahmaizah binti Haji Chuchu dari Cawangan E 

Matlamat majlis seumpama ini juga adalah bagi menyuburkan minat membaca Al Quran dalam memupuk nilai-nilai cara hidup islam yang mendalam serta menjadikan membaca Al Quran sebagai amalan dan budaya harian di kalangan warga pasukan dalam pembinaan  insan yang bertulang belakangkan keislaman. 

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS  

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI