KUALA BELAIT, Khamis 8 Ogos 2019 – Seorang suspek warganegara tempatan dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Bandar Seri Begawan pada 08 Ogos 2019 kerana dipercayai terlibat dengan kes curi yang berlaku di sebuah rumah kediaman Rancangan Perumahan Negara (RPN) Pandan 8, Kuala Belait. 

Laporan aduan berkenaan diterima oleh Balai Polis Kuala Belait, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) yang melibatkan kehilangan 1 vakum dan 1 telefon bimbit. Kesemua barang yang dilaporkan hilang telah berjaya ditemui kembali dan dijadikan bukti bagi pendakwaan. 

Suspek bernama Naarul Ralijam bin Haji Ibrahim berumur 36 tahun dan tidak bekerja akan berdepan dengan pertuduhan di bawah Seksyen 380 Kanun Hukuman Jenayah penggal 22 iaitu curi di dalam rumah (bangunan). 

Suspek telah mengaku bersalah dan Pihak Mahkamah telah menjatuhkan hukuman penjara selama 4 bulan di Penjara Maraburong bermula pada 08 Ogos 2019. 

PPDB ingin menasihatkan kepada orang ramai untuk sentiasa peka dan berwaspada dengan keadaan sekeliling bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa kepada kegiatan curi. Disarankan untuk segera menghubungi Pihak Polis jika ada mendapati sebarang aktiviti yang mencurigakan melalui talian kecemasan polis 993 atau salurkan ke Balai-Balai Polis yang berhampiran.

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI