BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis 29 Ogos 2019 – Satu unit komputer riba dan empat rim kereta beserta tayar yang telah dilaporkan hilang dipercayai dicuri telah berjaya ditemui kembali. 

Kejadian curi tersebut berlaku di dua lokasi berasingan iaitu di rumah kediaman di Jalan Sekolah Rendah Abd Rashid Tanjong Maya dan juga di Kg Sengkarai Tutong. 

Penemuan barang bukti tersebut adalah hasil daripada maklumat dan siasatan keanggotaan Daerah Polis Tutong sehingga berjaya membuat penangkapan ke atas seorang lelaki tempatan yang dipercayai terlibat dalam kes berkenaan.   

Suspek bernama Morsidi bin Hj Ya’akub, 35 tahun dan tidak mempunyai pekerjaan telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Bandar Seri Begawan bagi menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 3 (1)(b) Perintah Pemulihan Asset Jenayah 2012 iaitu menerima dan melepaskan barang yang dipercayai hasil jenayah tanpa mengambil langkah-langkah yang berpatutan untuk memastikan barang tersebut bukan dari hasil jenayah. 

Semasa sebutan kes, tertuduh telah membuat pengakuan salah dan Pihak Mahkamah telah menjatuhkan hukuman pemenjaraan ke atas tertuduh selama 18 bulan yang bermula pada tarikh 27 Ogos 2019. 

Justeru, PPDB ingin menekankan dan menasihati orang ramai agar lebih berhati-hati apabila menerima atau membeli barangan terpakai (secondhand goods) dengan tawaran harga yang murah. Selidiki dan buat semakkan terlebih dahulu kerana dikhuatiri awda terlibat menjadi rakan subahat kerana menyimpan barangan curi. 

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI