BANDAR SERI BEGAWAN – Khamis 1 Ogos 2019 – Unit Penumpasan Perjudian dan Pencegahan Maksiat, Jabatan Siasatan Jenayah, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah berhasil membuat serbuan dan memberkas seorang wanita warga asing di dalam sebuah bilik penginapan di kawasan Gadong dipercayai terlibat dalam menawarkan kegiatan khidmat seks. 

Suspek merupakan seorang wanita bernama Huynh Bich Phuong warganegara Viet Nam berumur 30 tahun dan telah berada di negara ini sejak 26 hari yang lalu dengan menggunakan pas pelawat. 

Hasil daripada serbuan tersebut telah mendapati barang-barang bukti yang dipercayai digunakan bagi menjalankan kegiatan yang tidak bermoral itu seperti sejumlah bungkusan kondom serta krim dan minyak pelincir. Turut ditemukan sejumlah wang tunai di tempat lokasi yang dipercayai hasil daripada kegiatan tersebut. 

Suspek dibawa ke Jabatan Siasatan Jenayah bagi siasatan lanjut dan kesemua bahan bukti dirampas bagi tujuan siasatan dan pendakwaan. Kes disiasat di bawah Seksyen 294A Kesalahan Menawarkan Khidmat Seks, Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22. 

Di samping itu, Pasukan Polis Diraja Brunei ingin menasihati dan menegaskan kepada orang ramai agar sentiasa mematuhi apa jua peraturan undang-undang negara dan memohon kepada masyarakat awam untuk memainkan peranan penting dan tidak camah mata dalam menyalurkan sebarang maklumat jenayah agar dapat ditangani sehingga ke peringkat akar umbi demi menjaga keamanan, keselamatan dan kesejahteraan Negara Brunei Darussalam. 

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI