BRUNEI MUARA, Selasa 14 Julai 2020 – Seorang wanita warga asing ditahan dalam satu serbuan yang dikendalikan oleh Unit Penumpasan Perjudian dan Pencegahan Maksiat, Jabatan Siasatan Jenayah, Pasukan Polis Diraja Brunei pada malam 14 Julai 2020. 

Wanita tersebut bernama Duong Phuong Linh merupakan seorang warga Viet Nam berumur 33 tahun telah diberkas di sebuah bilik hotel penginapan di Bandar Seri Begawan kerana dipercayai terlibat memberikan perkhidmatan seks. 

Semasa serbuan, Pihak Polis turut menemukan beberapa bahan bukti seperti minyak pelincir, beberapa paket kondom serta sejumlah wang tunai di lokasi kejadian dipercayai untuk tujuan aktiviti tidak bermoral. 

Hasil siasatan awal juga mendapati suspek telah berada di negara ini sejak bulan Mac 2020 yang lalu dengan menggunakan pas pelawat. Suspek dan semua barang bukti dibawa ke Jabatan Siasatan Jenayah untuk siasatan lanjut. 

Kes disiasat di bawah Seksyen 294A Kesalahan Menawarkan Khidmat Seks, Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22. 

Orang ramai sekali lagi ditekankan bahawa kegiatan yang tidak bermoral atau memberikan khidmat seks adalah menyalahi undang-undang di negara ini dan jika sesiapa mempunyai sebarang maklumat mengenai kegiatan atau aktiviti yang mencurigakan agar melaporkan ke talian kecemasan Pasukan Polis Diraja Brunei 993 atau mana-mana Balai Polis yang berhampiran.

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI