GADONG, Khamis, 08 November 2018 – 12 Rabiulawal tahun hijrah merupakan tarikh kelahiran junjungan kita Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam yang menjadi peristiwa besar dan menjadi ingatan kepada seluruh umat islam.
Dalam memperingati hari kelahiran baginda itu, umat Islam di Negara Brunei Darussalam juga tidak ketinggalan bagi mengadakan pelbagai acara keagamaan seperti Majlis Dikir Syarafil Anam selama 12 malam berturut-turut, majlis ceramah agama serta acara kemuncak iaitu Perarakan Maulud Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam.
Sehubungan itu, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) melalui Badan Ugama Islam (BUI) memulakan acara Maulidul Rasul dengan mengadakan Majlis Pembukaan Dikir Syarafil Anam sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam 1440 Hijrah / 2018 Masihi di Surau Ibu Pejabat Polis Gadong, malam tadi.
Hadir bagi sama-sama menyemarakkan Majlis selaku tetamu kehormat ialah Yang Mulia Pesuruhjaya Polis PPDB, Dato Paduka Seri Haji Mohd Jammy bin Haji Muhd Shah Al Islam.
Juga hadir ialah Yang Mulia Timbalan Pesuruhjaya Polis PPDB , Dato Seri Pahlawan Hj Mohammad Irwan bin Hj Hambali, Pengarah-Pengarah Jabatan, Pegawai-Pegawai Kanan, Para Pegawai dan anggota PPDB.
Majlis Pembukaan Dikir Maulud dimulakan dengan Sembahyang Fardu Maghrib dan Sembahyang Sunat Berjemaah.
Ini diikuti dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang di pimpin oleh APO SM 6924 Pengiran Haji Ludin bin Pengiran Haji Mat Tahir, Imam Surau Ibu Pejabat Polis Gadong sebelum bacaan Dikir Syarafil Anam dimulakan.
Majlis diakhiri dengan Dikir Marhaban selepas sembahyang Fardu Isyak berjemaah serta Doa Selamat.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
