BRUNEI MUARA, Rabu 31 Julai 2019 – Polis Marin, Jabatan Gerakan, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah berhasil menggagalkan dua (2) percubaan kegiatan penyeludupan barangan tegahan di kawasan Perairan Menunggol Laut dan kawasan Kampung Pelambayan, Daerah Brunei Muara. 

Kejadian pertama berlaku pada 29 Julai 2019, ketika mana Operasi Sepadu bersama Penguatkuasa Undang-Undang ‘Maritime Port Authority Brunei Darussalam (MPABD) di kawasan Menunggol Laut telah berhasil menahan sebuah bot yang mencurigakan. Hasil daripada pemeriksaan terhadap bot tersebut telah menemukan sebanyak 227 katon rokok pelbagai jenis. 

Pemandu ditahan bernama Haji Hussin bin Haji Timbang, 72, bekerja sendiri dan penumpang adalah seorang remaja lelaki yang masih bersekolah berumur 18 tahun. 

Kejadian kedua berlaku pada 30 Julai 2019 iaitu semasa rondaan dijalankan di kawasan Laut Kg Serdang dan menemukan sebuah bot yang mencurigakan sedang berlabuh. Apabila dihampiri, pemandu bot berkenaan telah melarikan diri ke kawasan air cetek di Kg Pelambayan dan meninggalkan perahunya di kawasan tersebut. 

Setelah pemeriksaan yang dijalankan ke atas bot berkenaan telah menemukan barangan tegahan iaitu sebanyak 664 katon rokok pelbagai jenis. 

Kesemua barang-barang tegahan dibawa ke Polis Marin dan kes dipindahkan siasatannya ke Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED). 

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT URUS SETIA PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI