Khamis, 4 Julai 2019 – Keamanan dan kesejahteraan dalam kehidupan bermasyarakat boleh dicapai melalui konsep amalan kejiranan yang baik dan terpuji. Kepentingan menjaga keselamatan juga dititik beratkan dalam berperanan untuk mewujudkan keharmonian terhadap hidup sesama berjiran.
Konsep Pengawasan Kejiranan (PK) yang semakin dibentuk merupakan salah satu asas dalam mencapai hasrat Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) bagi menyatukan orang ramai dalam menghubungkan silaturahim, kenal mengenali dan membentuk sifat tanggungjawab dan pemedulian di kalangan para masyarakat.
Berikutan itu, melalui program PK anjuran PPDB ini telah diatur beberapa strategi seperti rondaan pencegahan jenayah bersama penduduk setempat yang dikendalikan oleh balai-balai di seluruh negara bagi mencapai hasrat tersebut.
TUTONG – Semalam, seramai 10 orang keanggotaan Balai Polis Tutong yang diketuai oleh Penolong Pegawai Menguasa Balai Polis Tutong, Inspektor Percubaan (P.I) Abdul Hakim bin Haji Mohd Salleh telah mengendalikan satu rondaan PK bersama ahli-ahli PK Kg Telisai.

Hadir bagi sama-sama menyahut program PK berkenaan seramai 9 orang ahli yang dipimpin oleh Ketua Kg Telisai, Yang Mulia Awg Haji Maidin Haji Abd Wahit. Sebelum rondaan dijalankan, taklimat ringkas keselamatan diterangkan terlebih dahulu sebelum rondaan dimulakan.
Tumpuan rondaan di kawasan perumahan Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati (STKRJ) Telisai sehingga ke kawasan jalan Telamba, Keramut, Danau dan Sungai Paku. Hasil rondaan tidak ada menemukan sebarang kegiatan jenayah.
LABI – Rondaan PK pencegahan jenayah turut diungkayahkan oleh Balai Polis Labi bersama ahli PK Kg Merangking. Rondaan diketuai oleh Lans Koperal 4662 Muhd Izzat Izuddin bersama Pmk Ketua Kg Merangking, Yang Mulia Muhd Raimey bin Abdullah.

Rondaan dijalankan di kawasan bangunan-bangunan kerajaan, kawasan rumah kediaman serta kawasan menara perhubungan DST di Kg Merangking. Sepanjang rondaan di kesemua tempat tidak ada menemukan sebarang kegiatan jenayah mahupun yang menyalahi undang-undang.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT URUS SETIA PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
