BRUNEI MUARA, Ahad 03 Mac 2019 – Seorang wanita warganegara asing telah diberkas dalam satu serbuan keanggotaan daripada Unit Penumpasan Perjudian dan Pencegahan Maksiat, Jabatan Siasatan Jenayah, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) pada petang tadi di salah sebuah motel di kawasan Gadong kerana dipercayai terlibat menjalankan kegiatan yang tidak bermoral.
Semasa serbuan tersebut Pihak Polis telah menemui beberapa bahan bukti seperti wang, dan beberapa kepingan kondom di lokasi kejadian dipercayai untuk tujuan aktiviti tersebut.
Suspek bernama Nguyen Cao Thu Trinh warganegara Vietnam berumur 32 tahun telah berada di negara ini dengan menggunakan pas pelawat. Suspek dan semua bahan bukti dibawa ke Jabatan Siasatan Jenayah untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 294A Kesalahan Menawarkan Khidmat Seks, Kanun Hukuman jenayah Penggal 22.
Orang ramai sekali lagi ditekankan bahawa kegiatan yang tidak bermoral atau memberikan khimat seks adalah menyalahi undang-undang di negara ini dan jika sesiapa mempunyai sebarang maklumat mengenai kegiatan atau aktiviti yang mencurigakan agar melaporkan ke talian kecemasan 993 atau mana-mana Balai Polis yang berhampiran.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
