BRUNEI MUARA, Isnin 11 Mac 2019 – Dua (2) wanita warganegara asing telah diberkas dalam satu serbuan Pihak Polis dari Unit Penumpasan Perjudian dan Pencegahan Maksiat, Jabatan Siasatan Jenayah, Pasukan Polis Diraja Brunei malam tadi di salah sebuah hotel di kawasan Bandar Seri Begawan kerana dipercayai terlibat memberikan perkhidmatan seks. 

Suspek pertama Le Thi Yen berumur 31 tahun dan telah berada di negara ini sejak 6 hari lalu. Suspek kedua Ha Thi Vinh berumur 34 tahun juga telah berada di negara ini sejak 12 hari lalu dengan menggunakan pas pelawat. Kedua-dua suspek merupakan warganegara Vietnam. 

Semasa serbuan tersebut pihak polis juga telah menemukan beberapa barang bukti seperti minyak pelincir serta sejumlah kotak berisi kondom di dua (2) bilik yang di sewa berasingan dipercayai bagi tujuan menjalankan aktiviti tidak bermoral tersebut. Kedua-dua orang suspek wanita tersebut dan semua barang bukti dibawa ke Jabatan Siasatan Jenayah untuk siasatan lanjut. 

Kes disiasat di bawah Seksyen 294A Kesalahan Menawarkan Khidmat Seks, Kanun Hukuman jenayah Penggal 22. 

Orang ramai sekali lagi ditekankan bahawa kegiatan yang tidak bermoral atau memberikan khidmat seks adalah menyalahi dari segi undang-undang di negara ini dan jika sesiapa ada mempunyai sebarang maklumat mengenai kegiatan atau aktiviti berkenaan untuk segera melaporkan ke talian kecemasan PPDB 993 atau mana-mana Balai Polis yang berhampiran. 

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS 

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI