BRUNEI MUARA, Isnin 31 Disember 2018 – Rondaan Pengawasan Kejiranan (PK) anjuran Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah mengendalikan rondaan pencegahan jenayah secara serentak semalam dengan kerjasama empat (4) Balai di Daerah Brunei Muara bersama ahli-ahli PK dibawah tadahan Daerah Polis Brunei Muara.
Rondaan melibatkan Balai Polis Muara, Balai Polis Sengkurong, Balai Polis Kampong Ayer dan Balai Polis Limau Manis.
Tempat-tempat rondaan tertumpu di kawasan-kawasan yang dipercayai sering berlakunya kejadian jenayah berdasarkan daripada laporan-laporan yang dibuat oleh mangsa-mangsa kejadian.

Dengan adanya penglibatan ahli-ahli PK di dalam rondaan ini juga diharap akan mengukuhkan lagi kerjasama sesama masyarakat kampung dalam tanggungjawab mencegah jenayah bersesuaian dengan visi PK Bersama Jiran Mencegah Jenayah.
PPDB menyeru orang awam agar sentiasa memberikan sokongan dan galakan bagi Program PK ini, terutama dalam penglibatan para belia yang akan membantu dan mengukuhkan lagi matlamat, iaitu bersama masyarakat mendukung undang-undang dalam memelihara keamanan dan kestabilan negara.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
