TUTONG, Rabu 6 Mac 2019 – Pada 06 Mac 2019, Balai Polis Tutong , Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah mengesahkan menerima satu laporan berhubung kes rompak yang berlaku di alamat LTS 88/1978, Jln Kerakas Payau, Kg Kupang, Tutong.
Mengikut keterangan mangsa, sekitar kira-kira jam 3 pagi, mangsa telah dikejutkan daripada tidurnya dengan kehadiran 2 orang suspek yang mana seorang daripadanya telah mengacukan sebilah parang ke leher mangsa.
Menurut mangsa lagi, suspek sempat membawa lari sebuah kenderaan jenis van Mitsubishi L300 berwarna putih dengan nombor pendaftaran BR681.
Hasil siasatan awal juga mendapati suspek seramai 3 orang yang dipercayai berbangsa Melayu. Dalam pada itu, Pihak Polis sedang giat menjalankan siasatan bagi mengesan suspek dan barang curi.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 iaitu kesalahan Merompak berkumpulan dan jika sabit hukuman hendaklah di hukum penjara selama suatu tempoh yang boleh sampai 30 tahun dan sebat tidak kurang daripada 12 sebatan.
Pasukan Polis Diraja Brunei memperingatkan kepada orang ramai agar tidak berasa cemas dan tidak mudah mempercayai terhadap maklumat-maklumat yang disebarkan melalui laman sesawang atau mana-mana laman sosial media lain yang tidak berasas. Di samping itu juga Pihak Polis ingin memaklumkan bahawa keadaan ketenteraman awam adalah terkawal.
Pasukan Polis Diraja Brunei berharap kepada orang ramai jika ada sebarang maklumat yang dapat membantu siasatan tersebut untuk memaklumkan dan mengongsikan segera ke Balai Polis berdekatan atau melalui talian kecemasan 993.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
