KUALA BELAIT, Sabtu 18 Mei 2019 – Balai Polis Kuala Belait, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah menghadapkan satu kes curi kereta ke Mahkamah Majistret Bandar Seri Begawan pada hari ini.
Ini adalah berikutan laporan yang telah diterima pada 16 Mei 2019 menyatakan sebuah kereta jenis Kijang berwarna Merah dipercayai dimasuki dan dibawa lari dari tempat kejadian di kawasan rumah kediaman Simpang 80-28, Kg Pandan ‘A’ Kuala Belait.
Siasatan telah dijalankan oleh keanggotaan Special Duties Balai Polis Kuala Belait dan telah berhasil memperolehi maklumat melalui rakaman litar tertutup (CCTV) di kawasan berkenaan dan seterusnya berjaya menahan seorang suspek yang dipercayai terlibat dengan kejadian tersebut.
Suspek adalah seorang warganegara tempatan bernama Suhaili bin Haji Sulaiman berumur 55 tahun dan tidak bekerja.
Pada 18 Mei 2019, suspek dihadapkan ke Mahkamah bagi menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 379 (Curi) Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22.
Tertuduh telah mengaku bersalah dan Pihak Mahkamah telah menjatuhkan hukuman pemenjaraan selama 16 bulan di Penjara Maraburong yang bermula pada tarikh 18 Mei 2019.
Di samping itu, Pihak Polis ingin menyeru kepada orang ramai agar berwaspada dan sentiasa peka dalam memastikan kenderaan mereka dalam keadaan berkunci serta tingkap kereta dalam keadaan tertutup rapi sebelum meninggalkan kenderaan tersebut bagi mengelakkan sebarang perkara-perkara yang tidak diingini berlaku.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
