BELAIT, Jumaat 5 Julai 2019 – Gandingan penduduk setempat bersama Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) melalui program Pengawasan Kejiranan (PK) ini sentiasa dieratkan dan dipertingkatkan demi untuk matlamat utama iaitu ‘Mencegah Jenayah Bersama Masyarakat’. 

Tanggungjawab bersama masyarakat sentiasa diterapkan kepada ahli-ahli PK bagi melahirkan sifat kerjasama antara satu sama lain, tidak camah mata serta sifat pemedulian bagi menjaga keselamatan sesama penduduk kampung. 

Semalam dua (2) balai polis di bawah tadahan Daerah Polis Belait telah membuat rondaan pemantauan dan pencegahan jenayah yang diadakan mengikut tadahan masing-masing. 

KUALA BELAIT – Balai Polis Kuala Belait yang diketuai oleh Koperal 2721 Shamsudin bin Haji Naim dengan 2 orang anggota Balai Polis Kuala Belait telah membuat rondaan di Kampung Pandan A. Turut hadir membuat rondaan ialah 6 orang ahli Pengawasan Kejiranan Kampung Pandan A.  

Rondaan dibuat dengan berjalan kaki menuju ke kawasan simpang rumah kediaman, kawasan bangunan premis perniagaan dan di kawasan Kampung Pandan A. 

SUNGAI LIANG – Manakala dari Balai Polis Sungai Liang juga menjalankan rondaan pencegahan jenayah yang sama di kawasan Kampung Lumut 1.  

Mengetuai rondaan ialah Penolong Pegawai Menguasa Balai Polis Sungai Liang, Inspektor Kanan (S/Insp) Haji Rabi’ul Shukreen bin Abdullah bersama Pmk Ketua Kampung Lumut 1 iaitu Yang Mulia Haji Abd Aziz bin Haji Ghani. Rondaan bermula daripada Jalan Pantai Lumut, Jalan Kg Sg Bakong serta membuat pemeriksaan di rumah pekerja. 

Sepanjang rondaan yang dibuat oleh kedua-dua balai tersebut tiada ada menjumpai sebarang aktiviti-aktiviti yang mencurigakan yang menyalahi undang-undang negara ini. 

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT URUS SETIA PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI