BRUNEI MUARA, Isnin 6 April 2020 – Pihak Kerajaan amat serius terhadap perintah yang telah dikeluarkan berhubung penjarakkan sosial serta larangan mengadakan sebarang aktiviti-aktiviti perkumpulan.  

Larangan perintah ini adalah amat penting bagi masyarakat awam bagi memberikan kerjasama sepenuhnya dalam menyokong dan membantu kerajaan dalam pelaksanaan mengekang penularan wabak COVID-19 ini dengan lebih efektif dan berkesan. 

Namun demikian, masih ada lagi yang degil dan ingkar akan perintah berkenaan. Terkini yang berlaku pada 5 April 2020 sekitar jam 12 tengah malam iaitu satu insiden telah dilaporkan berkenaan sekumpulan lelaki dan perempuan dipercayai mengadakan pesta hiburan di salah sebuah bilik hotel penginapan di kawasan Berakas. 

Perkara ini terbongkar, ketika mana anggota-anggota yang bertugas sedang membuat penugasan kawalan pengasingan (isolation) di lorong tingkat 4 hotel tersebut dan telah mendapati ada sebuah bilik yang sedang membuat bising dengan nada bunyi musik yang tinggi seraya mengganggu penginap-penginap yang lain. 

Sejurus itu, Pihak Polis dan sekuriti bertugas meluru masuk ke dalam bilik berkenaan dan telah mendapati adanya perkumpulan ramai di kalangan lelaki dan perempuan yang berumur anggaran 16 ke 27 tahun. 

Semasa pemeriksaan dijalankan, 4 orang daripadanya telah bertindak cuba untuk melarikan diri dengan keluar serta turun ke tingkat 3 melalui balkoni bilik lalu masuk ke sebuah bilik yang didiami oleh salah seorang yang sedang menjalani pengasingan diri. Walau bagaimanapun, cobaan untuk melarikan diri telah berjaya ditahan oleh sekuriti bertugas. 

Hasil siasatan awal menjelaskan bahawa seramai 20 orang telah berada di dalam bilik tersebut, 15 daripadanya lelaki dan 5 orang perempuan. Antara yang ditahan ialah anggota beruniform dan 3 daripadanya di bawah umur. 

Hasil pemeriksaan yang dijalankan turut menemukan barangan tegahan iaitu minuman keras dan juga rokok. 

Balai Polis Berakas, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) dan Bahagian Penguatkuasa Ugama (BPU) telah dihubungi bagi menjalankan siasatan mengenainya. 

Kesemua yang ditahan akan disiasat di bawah Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204 dan Bab 104, Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah 2013. Manakala 4 orang daripadanya juga akan disiasat di bawah Seksyen 448 Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 bagi kesalahan ceroboh. 

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI​