BRUNEI MUARA, Rabu 11 Mac 2020 – Berikutan dengan permakluman Kementerian Kesihatan Negara Brunei Darussalam mengenai pengesahan kes pertama COVID-19 yang melibatkan warga tempatan, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah pun mengatur strategi bagi meningkatkan lagi kawalan bersama Agensi-Agensi Penguatkuasa yang lain bagi membantu mengekang penularan wabak COVID-19 di negara ini.
Di samping itu, PPDB juga telah mengerahkan keanggotaannya bagi melaksanakan tugas dan tanggungjawab pengawalan seperti di dalam peruntukan yang telah ditetapkan di bawah Seksyen 63 Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204 bagi Pihak Polis memberikan bantuan kepada Kementerian Kesihatan dalam menguatkuasakan Kurantina seperti;
1- Tugas-tugas mengawal dan menghalang orang yang tidak berkenaan memasuki dan keluar daripada tempat dan kawasan kurantina.
2- Memantau mangsa jangkitan agar tidak melanggar peraturan kurantina seperti meninggalkan tempat dan kawasan Kurantina.
3- Mengadakan rondaan disekeliling kawasan yang terjejas bagi memastikan kawasan tidak dicerobohi.
Sehubungan itu, PPDB ingin menasihati orang ramai supaya jangan sekali-kali terlibat dalam mengeluarkan dan menyebarkan maklumat-maklumat dan berita yang tidak sah dan tidak berasas berkaitan dengan wabak COVID-19 ini.
Selain itu juga diperingatkan agar tidak mudah mempercayai dan berasa cemas terhadap maklumat-maklumat yang disebarkan melalui laman sesawang atau mana-mana laman sosial media yang belum pasti kesahihannya.
Pasukan Polis Diraja Brunei tidak pernah memandang ringan terhadap penularan maklumat dan berita palsu. Bagi mereka yang menyebar maklumat dan berita palsu hingga mengganggu ketenteraman negara akan diambil tindakan undang-undang yang setimpal dengan perbuatannya.
Kesalahan-kesalahan sedemikian boleh diambil tindakan di bawah perundangan Penggal 148 Akta Ketenteraman Awam Seksyen 34 iaitu sesiapa yang sama ada, menggunakan lisan atau tulisan atau menggunakan sebarang cara, menyebarkan laporan yang salah atau membuat kenyataan yang salah yang boleh menyebabkan ketenteraman awam terganggu boleh dipenjara 3 tahun dan denda sebanyak $3,000.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
