BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu 22 Jun 2019 – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah mengurniakan titah perkenan bagi Penolong Pesuruhjaya Polis, Yang Mulia Pengiran Dato Paduka Haji Mohd Jefri bin Pengiran Haji Abd Hamid untuk dilantik dan dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Pesuruhjaya Polis bermula pada hari ini 22 Jun 2019.

Sehubungan dengan itu, majlis perlantikan dan kenaikan pangkat Timbalan Pesuruhjaya Polis dilangsungkan di Dewan Banquet Mess Pegawai, Kompleks Ibu Pejabat Polis Diraja Brunei, Gadong.
Hadir selaku tetamu kehormat Pesuruhjaya Polis, Yang Mulia Dato Seri Pahlawan Haji Mohammad Irwan bin Haji Hambali dan isteri, Yang Mulia Pengiran Datin Hajah Zauyah binti Pengiran Haji Sulaiman. Turut hadir ialah pegawai-pegawai kanan Pasukan Polis Diraja Brunei, jemputan khas serta ahli keluarga Timbalan Pesuruhjaya Polis.
Di majlis berkenaan, Yang Mulia Dato Seri Pahlawan Haji Mohammad Irwan telah menyempurnakan dengan menyampaikan tanda pangkat dan menyerahkan surat perlantikan kepada Yang Mulia Pengiran Dato Paduka Haji Mohd Jefri.
Majlis diakhiri dengan sesi bergambar ramai bersama Pesuruhjaya Polis dan pegawai-pegawai kanan Pasukan Polis Diraja Brunei.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT URUS SETIA PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
