BRUNEI MUARA, Selasa 2 Jun 2020 – Sejumlah barangan kemas berupa cincin emas, gelang emas, telefon bimbit, tablet PC serta wang ringgit lesap dipercayai hilang dicuri.

Kejadian yang dilaporkan pada 31 Mei 2020 itu berlaku di sebuah rumah kediaman di Kg Perpindahan Lambak Kanan ketika mana mangsa yang sedang tidur telah dihimpit oleh seorang individu dipercayai seorang lelaki (suspek) yang cuba untuk melakukan perkara yang tidak sopan ke atas mangsa. Sejurus perkara itu disedari, mangsa segera tersedar lalu suspek segera melarikan diri.
Balai Polis Berakas, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) menjalankan siasatan dan hasil daripada bantuan orang ramai telah berhasil mengesan dan menahan suspek. Siasatan juga mendapati suspek telah masuk ke dalam rumah mangsa pada 31 Mei 2020 sekitar jam tengah malam melalui jendela ruang tamu yang berkunci.
Suspek bernama Khairul Sazwan bin Kadir, berumur 25 tahun dan tidak bekerja dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Bandar Seri Begawan pada 2 Jun 2020 bagi menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 457 dan 354 Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22.
Seksyen 457 : Bersembunyi untuk menceroboh rumah atau memecah rumah di waktu malam bagi melakukan kesalahan.
Seksyen 354 : Serangan atau jenayah kekerasan dengan niat hendak mencabul kehormatan.
Hasil daripada sebutan kes, Pihak Mahkamah telah memerintahkan bagi tertuduh untuk direman di Penjara Maraburong sehingga perbicaraan seterusnya pada 11 Jun 2020 di Mahkamah Perantaraan.
PPDB di kesempatan ini dengan tegas ingin memaklumkan kepada orang ramai bahawa undang-undang akan ditegakkan dan dikuatkuasakan dengan sebaiknya beserta hukumannya bagi memastikan orang ramai untuk lebih peka akan akibat jika melakukan apa jua kesalahan jenayah yang melibatkan harta benda apatah lagi menyentuh mengenai keselamatan nyawa.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
