BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu 10 November 2018 – Khidmat Pasukan Polis dalam menyaksikan tugasan dan peranan selaku peneraju agensi penguatkuasa keselamatan adalah semakin kompleks disamping berdepan dengan pelbagai cabaran bagi mengekalkan keharmonian dan keamanan di negara ini , ianya juga melibatkan komitmen dan kerjasama yang telus dalam menangani isu-isu serantau dan transnasional termasuk anti keganasan, jenayah siber, ‘Sextortion’ dan juga kegiatan penipuan ‘scamming’ dalam talian.

Perkara tersebut merupakan antara perkongsian taklimat yang telah disampaikan oleh Pesuruhjaya Polis, Pasukan Polis Diraja Brunei, Yang Mulia Dato Paduka Seri Haji Mohd Jammy bin Haji Muhd Shah Al Islam semasa sesi perkongsian dan perbincangan bagi Program Pembangunan Eksekutif Pegawai – Pegawai Kanan Kerajaan (EDPSGO) Kali ke 26 anjuran Universiti Teknologi Brunei (UTB) yang berlangsung di dewan kuliah, UTB, di sini.
Program pembangunan bagi Pegawai-Pegawai Kerajaan yang dianjurkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada asasnya adalah bertujuan untuk meningkatkan kapasiti kepimpinan dan kewibawaan pegawai-pegawai kanan kerajaan.
Dalam pada itu, Seramai 28 orang pegawai kanan kerajaan telah terpilih bagi mengikuti program ini dan antara lain objektif program ini di adakan adalah bagi menggilap kebolehan pegawai- pegawai kanan dapat diterjemahkan sepenuhnya bagi membolehkan mereka berperanan sebagai nadi penjana, penggerak dan penyampai Perkhidmatan Awam yang efisien, berkesan dan menepati sasaran.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
