SUNGAI LIANG, Rabu 4 Mac 2020 – Dengan matlamat utama ‘Mencegah Jenayah Bersama Masyarakat’ Pengawasan Kejiranan (PK) Balai Polis Sungai Liang bersama Pemangku Ketua Kampung Lumut 1, Haji Abdul Aziz bin Haji Gani telah berhasil membuat penemuan barangan tegahan semasa membuat rondaan pencegahan jenayah PK di kawasan Sungai Bakong, Daerah Belait. 

Hasil rondaan di kawasan berkenaan telah menemukan dua buah kereta yang mencurigakan dan apabila dijalankan pemeriksaan oleh Pihak Polis telah menemukan beberapa botol dan tin minuman keras pelbagai jenama, juga turut ditemui ialah beberapa katon rokok pelbagai jenama tersimpan di dalamnya dan beberapa katon yang lain di dalam rumah. 

Dengan penemuan tersebut, kereta dan barang-barang rampasan telah dibawa ke Balai Polis Sungai Liang dan diserahkan ke Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) bagi siasatan lanjut. 

Memang tidak dinafikan lagi bahawa semangat dan kerjasama PK dari kalangan masyarakat ini boleh mencegah dan membanteras segala kegiatan jenayah yang berlaku di kawasan persekitaran kampung. 

PPDB melalui program PK ini akan sentiasa berusaha dalam menambah baik dan mempertingkatkan lagi strategi bagi menarik orang ramai untuk ikut serta di dalam PK dalam sama-sama bertanggungjawab menjaga dan mengawasi kediaman dan kampung masing-masing. 

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI​