TUTONG , Selasa 23 Oktober 2018 – Daerah Polis Tutong telah membuat sesi perjumpaan Pengawasan Kejiranan bersama Penghulu-penghulu dan Ketua-ketua Kampung bagi suku tahun kali ke-3 2018.

Perjumpaan yang diadakan di kediaman rasmi Pegawai Daerah Tutong itu dipengerusikan oleh Pegawai Pemerintah Daerah Polis Tutong, Yang Mulia Penguasa Polis (Supt) Haji Mohamad Khairul Amilin bin Haji Idris yang dihadiri oleh Penghulu-penghulu dan Ketua-ketua Kampong di Daerah Tutong serta mantan Pegawai Pemerintah Daerah Polis Tutong , Yang Mulia Penguasa Polis (Supt) Suhairi bin Haji Sukri.

Turut hadir didalam taklimat tersebut pegawai-pegawai polis, pegawai jemputan daripada Institusi Mukim dan Kampung, Biro Kawalan Narkotik dan daripada Jabatan Elektrik serta anggota-anggota dan ahli Focal Point Pengawasan Kejiranan dari Daerah Tutong.

Taklimat pada perjumpaan tersebut telah disampaikan oleh Penolong Pegawai Pemerintah Daerah Polis Tutong berkenaan perkembangan terkini Pengawasan Kejiranan dibawah tadahan Balai Polis Tutong dan Balai Polis Lamunin.

Taklimat juga menjurus kepada perkongsian maklumat dan statistik kes-kes jenayah dan kemalangan lalulintas bagi Suku 3/2018 dan seterusnya membincangkan aktiviti-aktiviti dan mengatur strategi terkini ahli Pengawasan Kejiranan bagi tahun 2018.

Perjumpaan ini adalah merupakan salah satu platform Pasukan Polis Diraja Brunei bagi meningkatkan keyakinan dan kerjasama masyarakat awam dalam berganding bahu membantu mencegah jenayah dan mewujudkan suasana yang lebih selamat

kepada masyarakat kampong.

Bagi mewujudkan hala tuju suasana yang harmoni lagi selamat, maka setiap penduduk di dalam sesebuah kampong tersebut diseru untuk tidak putus-putus memberi sokongan padu dalam usaha membenteras dan mengurangkan jenayah.

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI