Gadong, Selasa, 20 Januari 2026 – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah mengadakan satu sesi perjumpaan bersama delegasi INTERPOL Cybercrime Directorate bertempat di Mess Pegawai, Ibu Pejabat Polis Gadong, sebagai usaha memperkukuh kerjasama strategik dalam menangani ancaman jenayah siber rentas sempadan.
Delegasi INTERPOL diketuai oleh Pengarah Cybercrime INTERPOL, Dr Neal Jetton, bersama Pegawai Pakar Cybercrime INTERPOL, Mr Wei Xian Tee. Perjumpaan tersebut melibatkan Pengarah dan Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Penolong Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Siber, serta Ketua Unit Hal Ehwal Antarabangsa & Biro Pusat kebangsaan (National Central Bureau) Brunei.
Perjumpaan ini bertujuan memperkukuh hubungan kerjasama sedia ada antara PPDB dan INTERPOL, khususnya dalam mempertingkatkan keupayaan bersama bagi memerangi jenayah siber yang semakin kompleks dan bersifat global. Perbincangan menumpukan kepada ancaman siber yang kian berkembang, kepentingan perkongsian maklumat, serta keperluan penyelarasan usaha di peringkat nasional, serantau dan antarabangsa.

Dalam sesi perbincangan tersebut, PPDB berkongsi maklumat berkaitan trend semasa dan ancaman jenayah siber di peringkat domestik, termasuk cabaran utama serta keutamaan operasi semasa. Sementara itu, INTERPOL turut membentangkan inisiatif-inisiatif terkini yang dilaksanakan oleh Cybercrime Directorate, termasuk pendekatan terhadap peningkatan pengkomersialan jenayah siber, serta aktiviti operasi yang sedang dan akan dilaksanakan di peringkat serantau dan global.
Delegasi turut merakamkan penghargaan kepada PPDB atas kerjasama PPDB ke INTERPOL Global Complex for Innovation (IGCI) di Singapura.
PPDB menegaskan komitmennya untuk terus bekerjasama rapat dengan INTERPOL dalam usaha memerangi jenayah siber, serta memainkan peranan aktif dalam memperkukuh kerjasama keselamatan siber di peringkat serantau dan antarabangsa demi menjamin keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.

Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
IBU PEJABAT POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
