Dua (2) Balai Polis di Daerah Belait dan Temburong telah menjalankan program pendekatan serta rondaan pencegahan melalui penglibatan Pengawasan Kejiranan (PK) yang dikelolai oleh Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB).
BELAIT – Rondaan pencegahan telah dijalankan pada 20 Julai 2020 oleh keanggotaan Balai Polis Kuala Belait yang menumpukan ke kawasan persekitaran di bawah tadahan Kampong Mumong.
Mengetuai rondaan ialah Pegawai Menguasa Balai Polis Kuala Belait, P/ASP Muhammad Ziyad Bin Abd Rahman bersama anggota Balai dan ahli-ahli PK yang dipimpin oleh Pemangku Ketua Kg Mumong, Yang Mulia Hj Md Yusof Bin Dulamin.
TEMBURONG – Seramai 7 orang anggota Balai Polis Bangar yang diketuai oleh Penolong Pegawai Memerintah Daerah Polis Temburong, Yang Mulia Pg Anak Haji Azanuddin Aman Shah bin Pg Anak Ismail Al-Haj telah membuat dua (2) program pendekatan dan perjumpaan bersama Pemangku Ketua Kg Labu Estate, Yang Mulia Awang Haji Sulaiman bin Haji Nassir dan Yang Mulia Awang Yusof bin Haji Maidin, Ketua Kg Senukoh dan Pemangku Penghulu Mukim Labu.

Matlamat perjumpaan tersebut adalah untuk mengongsikan statistik-statistik jenayah serta membincangkan pelan strategi rondaan pencegahan jenayah bagi PK dalam sama-sama menjaga keamanan kampung disamping berkongsi maklumat mengenai trend-trend jenayah yang berlaku di bawah kawalan kampung.
Inisiatif usaha sebegini perlu diteruskan sebagai pendekatan terbaik kepada masyarakat dengan pihak Polis dalam melahirkan keadaan persekitaran perkampungan yang lebih selamat.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
