LIMAU MANIS, Isnin 11 Mac 2019 – Seorang suspek warganegara asing berjaya ditahan semasa rondaan pihak polis di kawasan hutan Jalan Tikus, Kuala Lurah Lumapas.
Hasil risikan dan pemantauan yang dijalankan, rondaan keanggotaan Pasukan Simpanan ‘C’ Kompeni, Jabatan Gerakan, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) di kawasan Jalan Tikus Spg 1580 telah membuahkan hasil bila mana terserempak dengan suspek yang cuba untuk membawa masuk barangan tegahan iaitu rokok ke negara ini.
Suspek bernama Ak Mohd Azri bin Ak Jeman, warganegara Malaysia berumur 33 tahun telah berjaya ditahan bersama barang bukti dan dibawa ke Balai Polis Limau Manis bagi dijalankan siasatan.
Hasil siasatan awal mendapati sejumlah 270 katon rokok telah berjaya dirampas dan kes penyiasatan akan diserahkan kepada Pihak Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) bagi siasatan selanjutnya.
Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) akan meningkatkan lagi usaha dalam menangani kegiatan-kegiatan negatif serta anasir jenayah hingga ke peringkat akar umbi demi menjaga keamanan, keselamatan dan kesejahteraan Negara Brunei Darussalam.

Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
