MUARA, Khamis 8 Ogos 2019 – Polis Marin, Jabatan Gerakan, Pasukan Polis Diraja Brunei pada 8 Ogos 2019 telah berjaya mematahkan percubaan penyeludupan barangan tegahan yang berlaku di perairan Sungai Bunga, Daerah Brunei Muara.
Dalam kejadian tersebut, semasa operasi sungai yang dijalankan oleh keanggotaan Polis Marin telah mendapati sebuah bot yang mencurigakan sedang menuju masuk ke perairan Kuala Menunggol, apabila menyedari akan kehadiran bot pihak polis, bot yang mencurigakan tersebut terus berpusing dan meninggalkan tempat berkenaan seraya menghala ke kawasan perairan Sungai Bunga.
Bot berkenaan kemudian ditemui terdampar di kawasan persekitaran Sungai Bunga tanpa sebarang pemandu. Hasil daripada pemeriksaan yang dijalankan telah menemukan sejumlah bungkusan plastik yang dipercayai barangan tegahan iaitu daging mentah yang cuba dibawa masuk secara tidak sah.

Bot beserta barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Marin dan siasatan kes ini akan diserahkan kepada Bahagian Kawalan Makanan Halal (BKMH) bagi tindakan dan siasatan lanjut.
Pasukan Polis Diraja Brunei ingin menyeru orang ramai bagi menyalurkan dan mengongsikan sebarang maklumat mengenai kegiatan jenayah melalui talian kecemasan 993 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
