BRUNEI-MUARA, Khamis, 24 Julai 2025 – Satu Operasi Sepadu yang dijalankan oleh Polis Marin (POLMAR) Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) telah berjaya menggagalkan cubaan membawa masuk barang tegahan melalui perairan Brunei. 

Insiden berkenaan berlaku pada petang Khamis 24 Julai 2025, apabila peronda POLMAR telah mengesan sebuah perahu yang dipandu oleh seorang individu bergerak laju dan dalam keadaan mencurigakan di kawasan Sungai Tanjong Cendana menuju ke perairan Kampong Sungai Bunga. 

Semasa percubaan untuk memberhentikan perahu tersebut bagi tujuan pemeriksaan, suspek telah bertindak dengan melarikan diri yang mencetuskan aksi kejar-mengejar sehingga perahu berkenaan merempuh kawasan hutan bakau di anak sungai Buang Tawar lalu suspek melarikan diri ke kawasan hutan dan meninggalkan perahunya. 

Hasil kerjasama menerusi Operasi Sepadu bersama ABDB, perahu suspek telah ditunda keluar dari kawasan tersebut. Siasatan lanjut kemudiannya mengesahkan bahawa perahu tersebut membawa sebanyak 380 karton rokok pelbagai jenis. 

Kes ini kini disiasat di bawah Seksyen 146(1)(d), Perintah Eksais 2006. Semua barang rampasan termasuk perahu telah diserahkan kepada Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) untuk tindakan lanjut. 

PPDB menegaskan komitmen untuk terus mempergiatkan rondaan dan pemantauan bagi memastikan perairan negara sentiasa terpelihara dan bebas daripada sebarang kegiatan jenayah. Orang ramai juga diseru untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti jenayah atau perlakuan mencurigakan yang melanggar undangundang melalui talian 993. 

seludup 22.jpeg
seludup 222.jpeg

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS 

IBU PEJABAT POLIS 

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI