BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin 11 Nov 2019 – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) melalui Balai Polis Kampong Ayer telah menerima laporan dari talian kecemasan 993 pada 5 November 2019 sekitar jam 05.20 pagi berikutan penahanan yang dibuat oleh aduan ke atas 3 orang suspek yang dipercayai terlibat dengan kegiatan curi dan ceroboh di kawasan Kampung Buang Tengkurok, Mukim Lumapas.
Suspek pertama bernama Mohammad Jaidatul Fadillah Fadil bin Haris Fadillah, 32 tahun, suspek kedua Norliana binti Hussin, 33 tahun dan suspek ketiga Adi Rozeman bin Abdullah, 18 tahun, Ketiga-tiga suspek ialah warga tempatan dan tidak mempunyai sebarang perkerjaan.
Kedua-dua suspek lelaki telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Bandar Seri Begawan pada hari ini bagi menghadapi pertuduhan di mana suspek Mohammad Jaidatul Fadillah Fadil telah mengaku bersalah atas perbuatan menceroboh sementara suspek kedua Adi Rozeman telah mengaku bersalah bagi kesalahan menceroboh dan juga memberi keterangan palsu.
Manakala suspek bernama Norliana binti Hussin telah pun dilepaskan dengan ikat jamin polis pada tarikh 6 November 2019 yang lalu bagi dijalankan siasatan lanjut.
Kedua-dua suspek lelaki ditahan reman di Penjara Maraburong sehingga 12 November 2019 yang akan datang dan akan dibicarakan kembali bagi penetapan dan pemutusan hukuman.
Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) ingin menasihatkan kepada orang ramai agar tidak terlibat dalam sebarang kegiatan jenayah yang menyalahi undang-undang di negara ini dan PPDB juga akan sentiasa berusaha memantau dan seterusnya mengambil tindakan pada setiap kegiatan jenayah yang dilakukan untuk dihadapkan kemuka pengadilan bagi menghadapi perbicaraan serta hukuman setimpal dengan kesalahan yang dilakukan.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
