SUNGAI LIANG, Sabtu 29 Feb 2020 – Satu perlakuan jenayah terbongkar apabila perbuatannya dirakam melalui kamera litar tertutup CCTV di salah sebuah kedai di Kg Sg Bakong, Lumut Daerah Belait.
Susulan dengan insiden tersebut, satu aduan telah dilaporkan ke Balai Polis Sungai Liang, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dan kertas siasatan telah dibuka hingga membawa kepada penangkapan ke atas seorang lelaki warga tempatan bernama Muhammad Rafi Ezamdie bin Mohd Daud berumur 28 tahun yang tidak mempunyai sebarang pekerjaan.
Menurut siasatan awal mendapati, kejadian berkenaan berlaku pada 26 Februari 2020 bilamana suspek sedang berjalan di kawasan kedai lalu ternampak satu unit CCTV berwarna putih yang diletakkan diluar pintu masuk sebuah kedai. Suspek kemudian didapati mencabut CCTV berkenaan dengan menggunakan tangannya lalu membawanya ke rumah saudara suspek di kawasan RPN Lumut dengan alasan ingin mengetahui bagaimana CCTV tersebut berfungsi dengan talian WIFI.

Suspek telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bandar Seri Begawan bagi menghadapi pertuduhan curi di bawah Seksyen 379 Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 dan telah dijatuhkan hukuman iaitu pemenjaraan selama 4 bulan di Penjara Maraburong bermula pada tarikh 29 Februari 2020.
PPDB ingin menyeru kepada orang ramai agar sentiasa memberikan kerjasama dalam penyaluran maklumat untuk mencegah jenayah daripada berlaku dan menghapuskan peluang perlakuan jenayah di negara ini.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
