BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu 27 Nov 2019 – Dua (2) orang lelaki warganegara tempatan dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Bandar Seri Begawan pada hari ini kerana dipercayai terlibat dengan perbuatan ceroboh di sebuah rumah kediaman di kawasan Delima 1 Jalan Kebangsaan, Berakas. 

Hasil siasatan awal keanggotaan penyiasat daripada Balai Polis Berakas, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) mendapati suspek telah memasuki sebuah rumah kediaman yang kosong yang tidak berkunci lalu berniat untuk mengambil satu unit mesin pencuci pakaian yang dimiliki tuan rumah. Walau bagaimanapun, perbuatan suspek telah dikesan oleh jiran dan suspek kemudian berjaya ditahan. 

Siasatan lanjut dijalankan di mana suspek tidak berkeseorangan melakukan jenayah tersebut malah ianya ditemani oleh seorang lagi rakan suspek yang sedang menunggu di dalam kereta semasa kejadian itu berlaku. 

Suspek pertama, Md Khairul Hafiz Bin Abdullah berumur 20 tahun dan suspek kedua, Muhd Zaid Azizi Bin Sazali berumur 34 tahun, kedua-duanya bekerja sendiri. 

Tertuduh dihadapkan ke Mahkamah pada 27 November 2019 bagi menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 447 Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 iaitu melakukan Jenayah Ceroboh. 

Tertuduh pertama telah mengaku bersalah dan Pihak Mahkamah telah menjatuhkan hukuman pemenjaraan selama 1 bulan di Penjara Maraburong bermula pada hari ini 27 November 2019. 

Manakala tertuduh kedua dilepaskan dengan ikat jamin Mahkamah, sebanyak B$1000 dan seorang penjamin tempatan. 

PPDB tidak menafikan tanggungjawab memerangi jenayah merupakan tugas utama Pihak Polis, namun tanpa kerjasama dan sokongan masyarakat usaha berkenaan sukar dipenuhi. PPDB akan terus berusaha bagi mengekalkan keamanan dan kesejahteraan negara juga sebagai penjaga dan pelindung masyarakat dari segala anasir-anasir yang tidak diingini. 

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI