BRUNEI MUARA, Selasa 17 Dis 2019 – Tindakan melulu seorang pemandu yang mengacukan sebilah pisau kepada pemandu yang lain (mangsa) telah berjaya ditahan dan dijalankan siasatan pihak polis. 

Kejadian berkenaan berlaku pada 2 Januari 2019 yang lalu bertempat di kawasan lampu isyarat simpang empat, Jalan Utama Berakas. Berikutan dengan kejadian yang dipercayai berbaur ancaman itu, mangsa segera melaporkannya ke Balai Polis Berakas, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) bagi tindakan lanjut. 

Hasil siasatan yang dijalankan mendapati telah berlaku pertengkaran mulut sebelum itu di antara mangsa dan suspek di kawasan berkenaan. Suspek kemudian kembali ke dalam kereta dalam keadaan yang marah dan telah mengambil sebilah pisau yang ada di dalam keretanya seraya mengacukan kepada mangsa bertujuan untuk menakutkan. 

Suspek bernama Awangku Muhd Isra bin Pengiran Haji Hidup berumur 26 tahun telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Bandar Seri Begawan pada hari ini 17 Disember 2019 bagi menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 506 Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 atas kesalahan menakutkan secara jenayah. 

Pihak Mahkamah telah memutuskan bagi tertuduh dijatuhi hukuman pemenjaraan selama tempoh 2 bulan bermula 17 Disember 2019 di penjara Maraburong. 

PPDB menasihatkan kepada orang ramai khasnya para pengguna-pengguna jalanraya untuk lebih berwaspada dengan keadaan sekeliling dan persekitaran, jangan terlalu leka dan besikap pentingkan diri sendiri sehinggakan boleh mengganggu pengguna-pengguna jalanraya yang lain. 

Sikap yang tidak bertoleransi boleh menjejaskan seseorang individu untuk membuat sebarang keputusan yang rasional dan mendorong kepada perlakuan yang tidak dapat dikawal oleh akal pemikiran. 

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI