KUALA BELAIT, Khamis 23 April 2020 – Seorang lelaki dipercayai memeras ugut bertujuan untuk menyebarkan gambar tidak sopan seorang mangsa melalui laman sosial telah dijatuhi hukuman pemenjaraan di Penjara Maraburong selama dua tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Majistret Bandar Seri Begawan pada 22 April 2020.
Bertindak atas laporan yang diterima, Balai Polis Sungai Liang Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah menjalankan siasatan dan berhasil menahan seorang lelaki warga tempatan bernama Jefry bin Hj Ahmad berumur 35 tahun dan tidak mempunyai sebarang pekerjaan atas dakwaan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 383 Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 iaitu pemerasan.

Hasil siasatan lanjut, suspek melakukan kesalahan itu pada 14 April 2020 yang lalu selepas mengenali mangsa melalui laman sosial. Suspek kemudian memeras ugut mangsa dengan meminta bayaran sejumlah wang dan jika ingkar, suspek akan menyebarkan gambar-gambar mangsa yang berkelakuan tidak sopan ke media sosial.
Menurut suspek lagi, hasil wang yang diperolehi daripada mangsa telah pun digunakannya untuk bermain judi atas talian.
Pasukan Polis Diraja Brunei memandang serius kejadian sebegini dan tidak akan berkompromi dengan sebarang salah laku membabitkan kegiatan jenayah dan akan menjalankan siasatan mengikut undang-undang yang diperuntukan di negara ini.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
