BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu 2 Mei 2020 – Satu insiden berhubung perahu karam beserta penumpang-penumpang warga asing telah tular di media sosial pada 25 Disember 2019 yang lalu sekaligus mengaktifkan keanggotaan polis bagi menjalankan siasatan untuk mengenal pasti punca sebenar. 

Balai Polis Kampong Ayer, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) sejurus menjalankan siasatan telah mengenal pasti seramai 7 orang pelancong warga Jerman merupakan mangsa-mangsa yang terlibat dengan insiden perahu yang karam itu. 

Manakala pemilik perahu telah berjaya dikesan hasil kerjasama daripada ahli-ahli daripada Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Negara Brunei Darussalam (MPABD) dan ditahan bagi dijalankan siasatan  mengenainya. 

Hasil siasatan pihak polis, perahu tambang yang dinaiki telah didapati melebihi muatan dan penyebab kepada perahu karam. Di samping itu, tidak ada sebarang kecederaan dialami cuma beberapa barangan yang dikenal pasti hilang tenggelam ke dalam air seperti kasut dan kamera milik mangsa. 

Suspek bernama Asri bin Taram @ Rahman berumur 34 tahun, warganegara Malaysia dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Bandar Seri Begawan pada hari ini 2 Mei 2020 bagi sebutan jatuh hukum selepas dibacakan tuduhan di bawah Seksyen 280 Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 iaitu Mengemudi Vesel Secara Gopoh. 

Tertuduh telah mengaku bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara selama 6 bulan di Penjara Maraburong bermula pada tarikh 15 April 2020. 

PPDB dengan tegas ingin memaklumkan kepada para-para pengemudi perahu tambang untuk sentiasa mematuhi peraturan dan syarat-syarat piawaian berkaitan dengan had muatan sesebuah perahu beserta kepentingan memakai jaket keselamatan. 

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI