LIMAU MANIS, Sabtu 4 April 2020 – Sebanyak 2 ribu lebih tin dan botol minuman keras pelbagai jenama telah berjaya dirampas setelah cubaan diseludup masuk gagal.
Insiden tersebut telah berlaku di kawasan jalan tikus Kg Kuala Lurah ketika mana rondaan sempadan keanggotaan daripada Unit Operasi Khas, Pasukan Simpanan Polis C Kompeni, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah menemukan sejumlah barangan tegahan ditinggalkan berselerakkan di atas semak.Turut ditemui ialah seorang lelaki yang mencurigakan di kawasan berkenaan.
Siasatan awal pihak polis mendapati lelaki tersebut merupakan seorang warga tempatan bernama Jum Ehirul bin Akob berumur 41 tahun dan dipercayai mempunyai penglibatan terhadap kegiatan penyeludupan minuman keras itu.

Suspek beserta barang rampasan dibawa ke Balai Polis Limau Manis untuk siasatan dan peralihan siasatan akan diserahkan ke Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) bagi tindakan selanjutnya.
PPDB akan sentiasa berusaha dalam membuat pemantauan, risikan serta pengesanan terhadap sebarang kegiatan jenayah di kawasan-kawasan sempadan negara ini dalam usaha menangani jenayah-jenayah rentas sempadan.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
