TEMBURONG, Selasa 15 Sept 2020 – Keanggotaan Balai Polis Temburong, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah berjaya menahan seorang lelaki dipercayai cuba untuk melarikan diri semasa kawalan pihak polis dijalankan di simpang tiga Kg Rataie, Daerah Temburong.
Penahanan tersebut melibatkan seorang warga negara asing (suspek) kerana tidak memberhentikan kenderaan yang dipandu serta meluru laju semasa kawalan kemalangan dikendalikan.
Suspek berjaya ditahan di kawasan Kg Sibulu, Temburong dan sejurus membuat pemeriksaan telah mendapati sejumlah bungkusan hitam dipercayai barangan yang tidak diisytiharkan iaitu barangan ayam mentah seperti kepak ayam, nugget, sausages dan sebagainya.
Suspek dan hasil penemuan barangan dirampas dan dibawa ke Balai Polis Temburong bagi siasatan awal dan siasatan lanjut diserahkan ke pihak Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) serta Bahagian Kawalan Makanan Halal (BKMH).
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
