BRUNEI MUARA, Ahad 20 Oktober 2019 – Kampung Sungai Besar, Mukim Kota Batu telah mengisytiharkan penubuhan Pengawasan Kejiranan (PK) di kampung berkenaan dengan menghadapkan 10 orang keahlian bagi mengikuti program dan aktiviti PK anjuran Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB). 

Hadir bagi penyerahan sijil keahlian ialah Penolong Pegawai Menguasa Balai Polis Pusat, BSB Inspektor Bakrie Hasmie bin Abu Bakar kepada Pemangku Ketua Kampung Sungai Besar, Yang Mulia Awang Haji Khamis bin Abdullah beserta 9 orang ahli baru yang terdiri daripada anak-anak kampung berkenaan. 

Acara tersebut turut diselitkan dengan taklimat daripada wakil Unit Perhubungan Awam PPDB iaitu penerangan lanjut mengenai sejarah dan hala tuju PK. 

Kemudian acara diteruskan lagi dengan rondaan pencegahan jenayah bersama ahli-ahli PK baru yang dibimbing oleh 9 orang Focal Point (FP) terdiri daripada FP Ibu Pejabat Daerah Polis Brunei Muara, FP Balai Polis Pusat BSB, FP Balai Polis Kg Ayer beserta FP Balai Polis Muara. 

PPDB melalui Urusetia PK berharap lebih banyak lagi penyertaan daripada penduduk-penduduk kampung dalam objektif utama iaitu bersama masyarakat mencegah jenayah. Ianya bukan sahaja sekadar program PK akan tetapi mempunyai implikasi yang berkesan dalam aspek penurunan serta pencegahan jenayah secara keseluruhan. 

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI