BRUNEI DAN MUARA, Jumaat 15 Mac 2019 – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) ingin mengesahkan telah menerima makluman daripada orang awam pada 15 Mac 2019 sekitar jam 5 petang tadi berkenaan pelanggaran 2 buah perahu tambang yang berlaku di kawasan perairan berdekatan Jambatan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha (RIPAHS), Bandar Seri Begawan.
Daripada insiden tersebut, salah sebuah perahu tambang berkenaan telah membawa 3 orang warga asing dimana salah seorang daripadanya dalam keadaan selamat, seorang mengalami kecederaan dan dikejarkan ke Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) dan seorang lagi dipercayai telah terjatuh ke dalam sungai dan belum lagi ditemui. Di samping itu, sebuah lagi perahu yang turut terlibat membawa 2 orang penumpang adalah dalam keadaan selamat.
Hasil siasatan awal juga mendapati mangsa yang terlibat tidak ada memakai jaket keselamatan.
Ekoran daripada kejadian tersebut, operasi pencarian sedang dijalankan melibatkan Polis Marin PPDB, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan keanggotaan Balai Polis Kampong Ayer.
Pasukan Polis Diraja Brunei ingin memohon bantuan orang ramai jika ada sebarang maklumat atau penemuan yang mencurigakan untuk segera menghubungi talian kecemasan 993 atau tampil ke balai-balai polis berdekatan.


Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
