BRUNEI MUARA, Isnin 3 Feb 2020 – Satu (1) pendekatan dan dua (2) operasi rondaan telah dikendalikan oleh ahli-ahli Pengawasan Kejiranan (PK) bersama keanggotaan Balai-Balai Polis.
Aktiviti pendekatan tersebut telah diungkayahkan oleh Focal Point PK Balai Polis Pusat bersama Pmk Ketua Kg STKRJ Tungku Gadong, Yang Mulia Haji Hassan bin Haji Ali.
Sikap pemedulian dan sentiasa mengambil berat tentang perkembangan sekitar kampung adalah antara lain agenda yang dibincangkan semasa sesi aktiviti pendekatan dijalankan di samping kedua-dua pihak bersetuju bagi dijalankan pemantauan dari masa ke masa seterusnya menghalang dari pencerobohan serta cengkaman dari sebarang gejala-gejala jenayah.
Dua (2) operasi rondaan PK turut dikongsikan iaitu melibatkan Balai Polis Kg Ayer yang diketuai oleh Inspektor Hamdan bin Mantul, Pegawai Menguasa Balai Polis Kg. Ayer bersama Yang Berhormat Awg Naim bin Haji Kamis dan beberapa ketua Kampung ke kawasan Kg Sungai Bunga.
Manakala rondaan PK seterusnya adalah dari Daerah Belait yang melibatkan PK RPN Kg Panaga. Sebelum rondaan dimulakan sesi taklimat ringkas mengenai objektif rondaan dan langkah-langkah keselamatan. Hasil rondaan tidak mendapati apa-apa kejadian yang mencurigakan atau unsur-unsur jenayah.

Menanai dan menjaga kepentingan keselamatan awam daripada cengkaman jenayah merupakan antara lain matlamat utama PK di samping membantu meningkatkan taraf kualiti hidup bermasyarakat. Ini adalah amat penting dalam menjayakan program PK ke arah matlamat yang tepat dan fokus kepada keamanan dan kehidupan masyarakat.
Program rondaan ini akan sentiasa dijalankan dari masa ke masa bagi menghalang sebarang jenayah dan sekaligus mengurangkan kadar jenayah di negara ini.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
