Selasa, 4 Februari 2020 – Peranan masyarakat merupakan penyumbang utama bagi merealisasikan hasrat sesebuah negara untuk menjadi negara yang aman makmur dan sejahtera. Justeru, melalui perpaduan yang dibina bersendikan hati yang satu serta rangkaian kerjasama dan keprihatinan sesebuah komuniti masyarakat seperti Pengawasan Kejiranan (PK) menjadikan nilai tambah kepada keselamatan yang aman lagi harmoni. 

Sehubungan itu, beberapa buah kampung di negara ini giat mengikuti aktiviti di bawah Program PK anjuran Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) yang menjurus kepada pendekatan dan rondaan pencegahan jenayah. 

BRUNEI MUARA – Balai Polis Pusat BSB, Balai Polis Berakas dan Balai Polis Limau Manis melalui ahli Focal Point Balai telah membuat pendekatan bersama dengan Ketua-Ketua Kampung di bawah tadahan balai masing-masing di antaranya ialah Kg Menglait, Kg Kiulap Mukim Gadong B, RPN Kg Lambak Kanan Mukim Berakas ‘B’ dan juga Kg Bebuloh. 

BELAIT – Satu perjumpaan bersama ahli PK RPN Panaga Seria telah dijalankan oleh keanggotaan Balai Polis Panaga di mana perisian menjurus kepada penjelasan akan tujuan PK diwujudkan dan hala tuju bagi mencapai hasrat bagi mencegah dan membanteras kegiatan jenayah di negara ini di samping perbincangan mengenai aktiviti-aktiviti mendatang yang bakal dirancangkan berhubung PK. 

Diharapkan dengan pendekatan sedemikian ini dapat mewujudkan dan mempertingkatkan lagi perhubungan silaturahim di kalangan masyarakat awam bagi memberikan kefahaman yang sepenuhnya untuk membasmi serta membenci jenayah. 

TEMBURONG – Bagi memastikan keamanan dan kestabilan negara tidak akan terjejas akibat pengaruh aktiviti jenayah, Balai Polis Bangar bersama ahli PK Kampung Selangan Mukim Amo telah mengadakan rondaan Pencegahan Jenayah yang tertumpu di kawasan Kg Parit A dan B, Kampung Sibulu, Jeti penurunan Perahu Jalan Ang Ping Hui Quary, Temburong Quarry, Puni Quarry dan Kampung Biang. 

Rondaan pencegahan jenayah malam itu diketuai oleh Inspektor Muhd Ajib bin Haji Ahmad Awal selaku Pegawai Menguasa Balai Polis Bangar dan Inspektor Polis Percubaan Iman Aqilah Fikriah binti Haji Mohd Shafiee, Penolong Pegawai Menguasa Balai Polis Bangar bersama dengan dua anggota balai. Manakala dari PK diketuai oleh Dulamit bin Burut, Pemangku Ketua Kampung Selangan bersama tiga orang ahli PK Selangan Mukim Amo. 

Usaha praktikal ini diharap boleh membantu menangani masalah jenayah dengan menggunakan pendekatan pencegahan jenayah berorentasikan komuniti yang dikendalikan pada waktu siang ataupun malam. Sepanjang rondaan dijalankan tidak ada menemukan sebarang kegiatan yang mencurigakan dan bebaur jenayah. 

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI​