Ahad 16 Ogos 2020 – Kerjasama antara Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) bersama penduduk kampung dieratkan lagi melalui program kesukarelawan iaitu Pengawasan Kejiranan (PK) yang dikelola sepenuhnya oleh PPDB dan secara berterusan membuat aktiviti rondaan pencegahan jenayah dan pendekatan di beberapa lokasi di beberapa daerah.
MUARA – Antara PK yang menjalankan program tersebut adalah daripada ahli PK Kg Kapok dan RPN Kg Meragang, Kg Tanah Jambu dan Kg Salar bersama keanggotaan Balai Polis Muara di mana rondaan pencegahan jenayah telah dikendalikan diikuti dengan aktiviti pendekatan ke rumah Ketua-Ketua Kampung. Turut hadir bersama ialah Inspektor Mohd Firnasrulillah bin Haji Abd Ghani, Penolong Pegawai Menguasa Balai Polis Muara bersama keanggotaan Balai.
TEMBURONG – Beberapa pegawai serta keanggotaan di Daerah Polis Temburong yang diketuai oleh Penolong Pegawai Pemerintah Daerah Polis Temburong, Penolong Penguasa Polis (ASP) Pg Anak Haji Azanuddin Aman Shah bin Pg Anak Ismail Al-Haj telah membuat perjumpaan melalui permuzakarahan bersama Penghulu Mukim Bokok dan Mukim Amo.
Beberapa perkara telah dibincangkan bersama Yang Berhormat Haji Emran bin Haji Sabtu menjurus kepada perkongsian permasalahan, statistik serta perancangan bagi menjalankan operasi mencegah jenayah di kawasan berkenaan.
TUTONG – Saranan, nasihat, perkongsian maklumat merupakan beberapa agenda yang diberigakan oleh keanggotaan Balai Polis Lamunin yang diketuai oleh Pegawai Menguasa Balai Polis Lamunin, Inspektor Muhd Zulfadli bin Hj Awang Muhd Yusof kepada ahli-ahli PK Kg Kiudang/Mungkom Lamunin.
Seramai 8 ahli PK yang diketuai oleh Yang Mulia Awg Haji Saifulbahri bin Haji Umarali, Pmk Ketua Kg Kiudang/Mungkom Lamunin mengadakan pendekatan di dewan Kemasyarakatan Kampong Padnunok Lamunin.
Inisiatif yang diusahakan ini perlu berterusan sebagai pendekatan terbaik bagi masyarakat bersama dengan pihak Polis bagi tujuan melahirkan persekitaran kampung atau tempat yang lebih selamat demi kepentingan menjaga keselamatan dari berlakunya jenayah.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
