BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu 23 Mac 2019 – Balai Polis Kampong Ayer, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) mengesahkan telah menerima laporan dari talian kecemasan 993 daripada orang awam sekitar jam 5.08 petang tadi berhubung penemuan satu susuk tubuh badan yang terapung di kawasan perairan Sungai Lampai berdekatan Masjid Pintu Malim, Kota Batu, Bandar Seri Begawan.
Berikutan dengan kejadian tersebut, keanggotaan Balai Polis Kampong Ayer dan Polis Marin, Jabatan Gerakan segera ke tempat kejadian bagi menjalankan siasatan. Tubuh yang terapung telah berjaya dikeluarkan daripada kawasan perairan dan dikejarkan ke Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha (RIPAS) BSB bagi siasatan lanjut.
Mangsa yang dipercayai lemas terapung telah dikenal pasti oleh ahli keluarga iaitu seorang lelaki warganegara tempatan bernama Jefri bin Hj Munaf berumur 51 tahun.
Pasukan Polis Diraja Brunei akan menjalankan siasatan mengenai insiden ini dan bermohon kepada orang ramai atau saksi di tempat kejadian agar dapat tampil bagi menyalurkan sebarang maklumat ke Balai Polis Kampong Ayer atau di talian kecemasan 993.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
