BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad 17 Mac 2019 – Balai Polis Kampong Ayer, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) mengesahkan telah menerima laporan dari talian kecemasan 993 sekitar jam 7.40 pagi tadi mengenai penemuan satu susuk tubuh yang terapung di kawasan belakang Sekolah Rendah Dato Jamil, Kampong Setia A, Bandar Seri Begawan. 

Berhubung insiden berkenaan, penemuan tubuh tersebut dipercayai adalah mangsa yang lemas semasa insiden perahu tambang pada 15 Mac lalu. Mangsa kemudian berhasil dikeluarkan daripada tempat kejadian dan dibawa ke Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) bagi dijalankan siasatan lanjut.  

Mangsa lemas merupakan seorang lelaki warganegara Nepal bernama Thakuri Gurung, berumur 38 tahun bekerja sebagai pengawal keselamatan di Pasukan Simpanan Gurkha. 

Pasukan Polis Diraja Brunei akan menjalankan siasatan mengenai insiden ini dan bermohon kepada orang ramai atau saksi di tempat kejadian agar dapat tampil bagi menyalurkan sebarang maklumat ke Balai Kampong Ayer atau di talian kecemasan 993. 

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS  

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI