LIMAU MANIS, Rabu 22 Julai 2020 – Hasil rondaan operasi sepadu Pasukan Simpanan Polis C Kompeni, Jabatan Gerakan, Pasukan Polis Diraja Brunei bersama anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) telah berjaya mengesan cubaan menyeludup barang tegahan di kawasan Sungai Terusan Pandam Kg Junjongan. 

Kejadian berlaku sekitar jam 11 pagi, semasa rondaan dijalankan dan telah melihat kelibat dua orang individu yang mencurigakan sedang memunggah beberapa bungkusan plastik ke tebing sungai dengan menggunakan sebuah perahu. Menyedari akan kehadiran pihak berkuasa, dua individu berkenaan segera melarikan diri. 

Setelah pemeriksaan dijalankan ke atas perahu tersebut telah menemukan beberapa kotak minuman keras dan tiga beg galas berisi sejumlah karton rokok pelbagai jenama. 

Barang tegahan tersebut dibawa ke Balai Polis Limau Manis, PPDB untuk menjalani siasatan awal dan kes kemudiannya diserahkan kepada Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) bagi siatasan lanjut. 

Dalam hal ini, Pasukan Polis Diraja Brunei akan sentiasa meningkatkan keupayaan dalam memperkasa usaha kerajaan untuk sama-sama menangani isu-isu berkaitan yang berkaitan dengan jenayah rentas sempadan. 

PPBD juga ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada orang ramai yang sentiasa menyalurkan maklumat dalam membantu membanteras kesalahan jenayah yang termaktub di dalam undang-undang Negara Brunei Darussalam. 

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI