BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis 4 Jun 2020 – Satu kejadian kes curi yang melibatkan kehilangan rim kereta bersama tayar telah berlaku di kawasan Lambak Kanan.
Berikutan kejadian tersebut, aduan segera dilaporkan ke Balai Polis Berakas, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) bagi dijalankan siasatan.
Penelitian dan siasatan lanjut terhadap kes tersebut telah berhasil membuat penahanan terhadap seorang individu yang dipercayai terlibat dengan aktiviti jenayah berkenaan. Suspek tempatan tersebut bernama Rusyduddin bin Ramli, 30 tahun dan tidak bekerja.
Dalam kejadian yang berlaku pada 22 Mei 2020 suspek dipercayai telah mengambil keempat-empat rim bersama tayar itu bertempat di letak kereta belakang bangunan gedung perniagaan kawasan Lambak Kanan dan kemudian menjualnya dengan harga $150 untuk perbelanjaannya sendiri.
Suspek dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Bandar Seri Begawan bagi menghadapi satu pertuduhan di bawah Seksyen 379 Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 dan Pihak Mahkamah telah memutuskan hukuman penjara selama 8 bulan ke atas tertuduh.
PPDB menasihati orang ramai agar sentiasa berwaspada agar jangan meletakkan kereta di kawasan tempat yang gelap, tertutup dari pandangan, menyimpan barangbarang berharga yang boleh sahaja menarik perhatian individu-individu yang tidak bertanggungjawab bagi melakukan kegiatan jenayah.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
