BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin 23 Dis 2019 – Balai Polis Sengkurong, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah menerima satu laporan kes kecurian sebuah kereta yang berlaku di kawasan Kedai Runcit, Kg Mulaut.
Siasatan lanjut telah dijalankan dan perolehan maklumat melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kedai berkenaan berhasil menahan seorang lelaki tempatan bernama Ezham bin Mega, 43 tahun dan tidak mempunyai sebarang pekerjaan dipercayai terlibat dengan kes kecurian ini.
Hasil daripada siasatan, tertuduh telah mengakui melakukan curi ke atas sebuah kereta yang tidak berkunci ditinggalkan oleh pemandu (mangsa) dengan anak kunci yang masih berada di suis kunci atau ignition. Setelah berjaya membawa lari kereta tersebut, suspek kemudian menjualnya ke kedai besi buruk dengan harga BND$40.00.


Suspek dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Bandar Seri Begawan pada hari ini 23 Disember 2019 dan pihak mahkamah telah menjatuhkan hukuman pemenjaraan ke atas tertuduh selama 16 bulan di Penjara Maraburong atas kesalahan di bawah Seksyen 379 Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 dan diberi kesempatan untuk membayar wang pampasan kepada mangsa sebanyak B$500 dan jika gagal akan dikenakan tambahan 2 bulan pemenjaraan.
Pasukan Polis Diraja Brunei mengingatkan orang ramai agar sentiasa peka apabila meninggalkan kenderaan pastikan ianya dalam keadaan berkunci bagi mengelakkan daripada berlakunya sebarang kejadian yang tidak diingini.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
