TEMBURONG, Isnin, 9 Jun 2025 – Balai Polis Bangar, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah berjaya menahan seorang individu (suspek) yang dipercayai terlibat dalam pemilikan barang-barang tegahan hasil operasi di dua lokasi berasingan.
Pada jam lebih kurang 5.40 petang, anggota Balai Polis Bangar telah mengesan sebuah kenderaan mencurigakan jenis Suzuki Celerio di kawasan Pekan Bangar, Temburong yang menuju ke Jalan Labu. Kenderaan tersebut telah ditahan di tepi jalan Kampung Sungai Besar, Mentiri. Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan itu menemui beberapa kotak plastik berwarna hitam yang mengandungi barang-barang tegahan, serta sebuah beg berisi peralatan yang dipercayai digunakan untuk penyalahgunaan dadah.
Seorang penumpang lelaki tempatan berumur 43 tahun telah ditahan, manakala dua lagi suspek berjaya melarikan diri. Siasatan lanjut membawa kepada penemuan sebuah lagi kenderaan mencurigakan jenis Toyota Vios yang ditinggalkan di bahu jalan berhampiran pusing keliling Jalan Labu. Kenderaan tersebut dipercayai telah ditinggalkan oleh suspek dan rakannya akibat kerosakan.
Pemeriksaan terhadap kedua-dua kenderaan telah menemukan sejumlah barang tegahan iaitu sebanyak 695 karton rokok pelbagai jenis, 4 kotak minuman keras, serta peralatan yang dipercayai digunakan untuk penyalahgunaan dadah.
Suspek bersama kesemua barang rampasan telah dibawa ke Balai Polis Bangar dan akan diserahkan kepada Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) serta Biro Kawalan Narkotik (BKN) bagi siasatan dan tindakan lanjut.
Pasukan Polis Diraja Brunei ingin mengingatkan orang ramai bahawa pemilikan barang-barang tegahan adalah satu kesalahan yang boleh mendatangkan kesan negatif kepada masyarakat dan keselamatan negara.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti jenayah atau pelanggaran undang-undang diminta untuk menyalurkan maklumat melalui Talian Kecemasan Polis 993.



Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
IBU PEJABAT POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
