KUALA BELAIT, Sabtu 18 April 2020 – Rondaan dan pemantauan rutin keanggotaan Balai Polis Kuala Belait, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) di kawasan Pandan 4 Kuala Belait telah menahan seorang lelaki yang mencurigakan (suspek) serta membawa kepada penyelesaian satu kes jenayah iaitu curi.
Semasa penahanan dan pemeriksaan ke atas suspek tersebut turut ditemukan bersama beberapa jenis barangan yang bernilai seperti telefon bimbit, matawang asing, barangan kemas dan lain-lain lagi tanpa ada penjelasan yang nyata terhadap barang-barang ditemukan.
Dengan penahanan lelaki itu setara dengan laporan yang diterima dari Balai Polis Kuala Belait berkaitan dengan aduan curi yang melibatkan kehilangan beberapa barangan bernilai yang berlaku pada 15 April 2020 di kawasan rumah kediaman di Pandan 2 Kuala Belait.
Menerusi siasatan yang dijalankan telah mendapati telefon bimbit dan barangan lain yang diperolehi dari suspek adalah kepunyaan mangsa. Kesemua barangan penemuan dirampas bagi dijadikan bahan bukti untuk kertas penyiasatan.
Suspek bernama Muhammad Suhaimi bin Sufri berumur 26 tahun dan tidak memiliki sebarang pekerjaan.
Pada hari ini 18 April 2020, suspek dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Bandar Seri Begawan bagi berdepan dengan satu pertuduhan di bawah Seksyen 380, Kanun Hukuman Jenayah, Penggal 22 iaitu curi dalam bangunan.
Tertuduh telah tidak mengaku bersalah dan pihak mahkamah memutuskan terhadap tertuduh untuk direman di Penjara Maraburong bagi sebutan kes pada 2 Mei 2020.
Pasukan Polis Diraja Brunei mengingatkan orang ramai agar berhati-hati apabila berada di dalam rumah dan sentiasa memastikan pintu-pintu dan jendela-jendala rumah dalam keadaan berkunci bagi mengelakkan kejadian curi berlaku.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
