SENGKURONG, Rabu 15 Mei 2019 – Dua buah premis menjalankan perniagaan kafe siber di kawasan Kampong Sengkurong telah dijalankan pemeriksaan pencegahan oleh pihak Polis dan Jabatan Daerah Brunei Muara.  

Seramai 15 orang keanggotaan Balai Polis Sengkurong serta 5 orang pegawai daripada Jabatan Daerah Bahagian Perlesenan hadir untuk membuat pemeriksaan yang diketuai oleh Penolong Pegawai Menguasa Balai Polis Sengkurong, Inspektor Muhammad Marzuki Koo bin Abdullah.  

Tujuan pemeriksaan dibuat adalah bagi memastikan para pemilik kafe siber sentiasa akur dan mengikut peraturan yang telah ditetapkan iaitu tidak ada menjalankan sebarang kegiatan program perjudian di talian, sekatan daripada melayari laman web lucah, menjalankan kegiatan jenayah, penipuan, Scam dan sebagainya. 

Walaubagaimanapun, hasil daripada pemeriksaan ke dua buah kedai berkenaan tidak ada menemukan sebarang permainan mahupun program sepertinya atau pun yang menyalahi daripada segi undang-undang. 

Oleh itu, Pasukan Polis Diraja Brunei ingin menasihati kepada orang ramai terutama sekali para Ibubapa atau pun para penjaga untuk sentiasa membuat pemantauan ke atas anak-anak mereka semasa melayari internet.  

Tujuan utama adalah bagi mengelakkan mereka daripada terpengaruh dengan anasir-anasir buruk dengan melayari laman-laman web yang berunsur negatif, lucah dan juga berbaur pengganasan yang boleh sahaja menjurus kepada keruntuhan moral dan juga merosakkan akhlak pemikiran dan jiwa mereka. 

Pasukan Polis Diraja Brunei beserta agensi penguatkuasa undang-undang yang lain akan sentiasa berterusan dan tidak kendur-kendur bagi menjalankan pemeriksaan sepertinya di premis kafe siber yang lain bagi memastikan negara ini sentiasa terkawal daripada sebarang gejala negatif dan kegiatan jenayah. 

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS 

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI