BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu 6 Jun 2020 – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) ingin memaklumkan kepada orang ramai bahawa seorang warganegara Brunei Darussalam bernama Awang Azlan bin Awang Damit berumur 44 tahun telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Bandar Seri Begawan pada petang ini, 6 Jun 2020 yang mana beliau didakwa atas 3 dakwaan di bawah Kanun Hukuman Jenayah.
Dakwaan Pertama; Pada 10 Februari 2020, Awang Azlan bin Awang Damit telah melakukan ugutan ke atas seorang penjawat awam iaitu satu kesalahan di bawah Seksyen 506 Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22.
Dakwaan Kedua; Pada 4 April 2020 bertempat di Kompleks Perkampungan Sukan, Stadium Hassanal Bolkiah, Awang Azlan bin Awang Damit semasa menjalani kuarantin telah senghaja membuka ‘face mask’ (Penutup Muka) dan dengan senghaja melepaskan batuk di hadapan orang lain iaitu pekerja / frontliner di tempat berkenaan. Ini adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 269 Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22.
Dakwaan Ketiga; Pada 3 Mei 2020 bertempat di Kompleks Perkampungan Sukan, Stadium Hassanal Bolkiah, Awang Azlan bin Awang Damit telah mengacukan sebilah pisau lipat kepada seorang penjawat awam yang mana itu adalah kesalahan di bawah Seksyen 352 Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22.
Semasa perbicaraan, tertuduh tidak mengaku bersalah ke atas ketiga-tiga tuduhan dan beliau telah dilepaskan ikat jaminan Mahkamah. Perbicaraan akan disebut semula pada 29 Jun 2020.
Dalam hal demikian, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) ingin menyeru pada orang ramai untuk sentiasa memberikan kerjasama yang padu kepada agensi-agensi kerajaan yang terlibat secara langsung dalam menangani penularan wabak COVID19.
Selainnya orang ramai diseru untuk tidak menyebarkan apa jua maklumat yang tidak sahih bagi menjaga ketenteraman awam.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
