BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 8 Mac 2026– Perkumpulan Kebajikan Isteri dan Keluarga Polis (PEKERTI) telah mengadakan Majlis Iftar bersama anak-anak yatim Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) bertempat di Songket Hall 1 dan 2, Rizqun International Hotel. Seramai 61 orang anak-anak yatim telah menghadiri majlis tersebut.

Hadir selaku Tetamu Kehormat ialah Pengerusi PEKERTI, Datin Sabrina Aziemah binti Abdullah Chong yang turut menyampaikan sumbangan kepada para penerima.

Turut hadir ialah Pengerusi Badan Kebajikan Am PEKERTI selaku Pengerusi Majlis, Dayang Rokiah binti Joly @ Julai, Ahli Jawatankuasa Tertinggi PEKERTI serta Ahli Jawatankuasa Kerja Badan Kebajikan Am PEKERTI.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Yang Mulia DSP Muhammad Aimi Safwan bin Zalidin.

Penganjuran majlis ini adalah bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan silaturahim dan persahabatan di antara ahli-ahli PEKERTI bersama anak-anak yatim serta ahli keluarga mereka, khususnya dalam menghayati keberkatan bulan Ramadhan.

PEKERTI akan terus komited dalam melaksanakan pelbagai usaha kebajikan dan inisiatif pada masa akan datang bagi membantu serta memberikan sokongan kepada anak-anak yatim PPDB.

Dikeluarkan Oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

IBU PEJABAT POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI