BERAKAS, Rabu 29 April 2020 – Akibat perlakuan memakan wang hasil jualan kedai berjumlah sekitar BND$4,000, seorang perempuan warganegara Malaysia telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Bandar Seri Begawan hari ini. 

Insiden tersebut terbongkar apabila mangsa (Pemilik Kedai) menerima surat penyataan daripada pihak bank memaklumkan mengenai hasil jualan salah satu cawangan kedai miliknya tidak dimasukkan ke dalam akaun bank sejak bulan Julai hingga bulan September 2019. 

Berikutan insiden tersebut, mangsa segera melaporkan perkara ini ke Balai Polis Berakas, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dan seterusnya bertindak serta menjalankan siasatan sehingga berjaya menahan suspek iaitu pengurus cawangan kedai yang bernama Rosty Anak Ragai @ Wahdini Abdullah berumur 46 tahun. 

Menurut keterangan lanjut, suspek telah mengaku menggunakan wang pendapatan kedai dalam anggaran BND$4,000 kerana terdesak untuk kepentingan ibu, anak dan keperluannya sendiri. Duit tersebut juga digunakan untuk beli barang keperluan kedai tanpa pengetahuan majikannya. 

Hasil daripada perbicaraan, Pihak Mahkamah telah menetapkan bagi tertuduh dibacakan dengan kesalahan pertama di bawah Seksyen 406 Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 iaitu jenayah pecah amanah dan kesalahan kedua di bawah Seksyen 9(4) Akta Imigresen dan dijatuhi hukuman pemenjaraan selama 8 bulan bermula 5 Oktober 2019. 

Amanah dan kepercayaan perlu ditanai dan disanjung dengan tingginya. Hindari daripada memiliki sifat khianat dan menyeleweng kerana ianya pasti akan membawa kepada kerosakan dan memakan diri sendiri. 

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI